Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita MB PIBG 2016

PASIR GUDANG, 20 Mac – Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan penajaan biasiswa kepada para pelajarnya pada tahun ini, seperti yang dibentangkan menerusi Bajet Johor 2016. 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini tiada keperluan untuk Kerajaan Negeri mengurangkan atau menghadkan peruntukkan yang telah ditetapkan bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran mereka.

“Setakat hari ini, kita bersyukur kerana Johor tidak merancang untuk menghadkan, mengurangkan ataupun mengubah apa yang telah kita bentang dalam bajet 2016.

“Ini termasuk segala perbelanjaan yang telah ditetapkan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dari segi pembiayaan pelajar dan apa yang telah kita putuskan itulah yang akan kita jalankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 2, di sini, hari ini.

Menerusi Bajet Johor 2016, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan insentif Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) sebanyak RM990,000 yang akan memberi manfaat kepada 1,428 pelajar pelbagai kaum.

Bagi pembiayaan pendidikan pula, peruntukan bagi Pinjaman Pendidikan YPJ ditambah menjadi RM3 juta yang akan memberi manfaat kepada 500 mahasiswa baharu.

Selain itu, rebat 20 peratus melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta juga diberikan bagi pelangsaian Pinjaman Pendidikan YPJ kepada pelajar yang telah menamatkan pendidikan.

Khaled diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan pembatalan 744 biasiswa kepada pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Isu itu mendapat perhatian pelbagai pihak berikutan laporan berita bertajuk “Kerajaan jimat RM240 juta setahun pembatalan biasiswa”.

Azalina bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memansuhkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagaimana yang didakwa oleh pelbagai pihak dan memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM1.65 bilion bagi menanggung biasiswa pelajar tajaan JPA pada tahun 2016.

Jelas beliau, walaupun kerajaan membatalkan 744 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat penjimatan RM240 juta daripada langkah itu, namun penajaan untuk penuntut terlibat tetap diteruskan. - Portal Jauhar

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.