Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

06

BATU PAHAT, 27 Februari - Kumpulan Duta Jauhar UMP dengan projek "21st Century Women" hasil kerjasama penuh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Johor memenangi Anugerah Gangsa dalam Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 2.0 baru-baru ini.

Majlis Anugerah yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin itu diadakan di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat di sini. 

Kongres yang berlangsung selama empat hari itu berjaya menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang diadakan termasuklah pameran pelbagai agensi, sesi ‘pitching’ kumpulan projek dan Karnival Jauhar yang padat pelbagai aktiviti khusus buat masyarakat sekitar. Kumpulan Duta Jauhar UMP juga turut mempamerkan hasil projek mereka kepada pengunjung booth yang berupa produk peserta usahawan mereka.

Bagi Pengarah Duta Jauhar UMP, Siti Norhidayah Samsuri berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen ahli pasukan serta peserta mereka yang berjaya menjalani beberapa siri program sebelum ini sehingga  mampu sukses dalam perniagaan yang mereka ceburi.

“Segala jerih perih kumpulan mereka menjalankan projek keusahawanan yang nyata di luar bidang ahlinya memberikan hasil yang memuaskan apabila melihat usahawan-usahawan wanita di bawah bimbingan mereka kini lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan dan meluaskannya ke peringkat global,”katanya.

Ujar beliau, dengan tertubuhnya ‘Jauhar Levitasi Enterprise’ sebuah syarikat yang lahir di bawah projek Kumpulan Duta Jauhar UMP, ini akan menjadi penggerak utama mahasiswa dalam menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Kumpulannya sebelum ini menjalankan beberapa program termasuk Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) dan Program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA) yang memfokuskan mengenai pengurusan kewangan, panduan dalam memulakan sesebuah perniagaan dan kepentingan usahawan.

Majlis turut menyaksikan kesemua 22 kumpulan Duta Jauhar dari seluruh IPT terlibat menerima pengiktirafan dalam usaha mereka menjayakan projek duta Jauhar 2.0. Institut Sains dan Teknologi Darul Ta’zim (INSTEDT) membawa pulang Anugerah Permata, Anugerah Emas Pertama, Anugerah Kerjasama Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Transformasi Projek (Kesihatan) terbaik. Turut menang anugerah gangsa adalah Duta Jauhar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Duta Jauhar Universiti Malaysia (UM). - Community UMP

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.