Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

Berita bengkel 2016

PASIR GUDANG, 1 Mei - Sejumlah 27 kumpulan projek yang berjaya dalam senarai akhir permohonan diterima dan diluluskan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) untuk menyertai dan melaksanakan Program Duta Jauhar 3.0. 

Keputusan itu diumumkan oleh Pengurus Besar YPJ, On Jabbar pada majlis penutupan Bengkel Pengenalan & Perancangan Duta Jauhar 3.0 yang berlangsung di UiTM Kampus Pasir Gudang pada 28 April hingga 1 Mei lalu, yang disertai oleh seramai 310 orang peserta. 

"Saya berpuashati melihat kepada komitmen, kesungguhan, semangat dan disiplin yang dibuktikan oleh para peserta, maka saya telah berbincang dengan pegawai saya dan perunding. Maka kita memutuskan untuk menerima dan meluluskan kesemua cadangan projek daripada 27 kumpulan tersebut," katanya. 

Sepanjang 4 hari bengkel tersebut, para peserta didedahkan pelbagai input berkaitan perjalanan projek sebagai persediaan pelaksanaan Duta Jauhar 3.0 yang bertemakan "Keusahawanan Sosial". YPJ mempertemukan peserta dengan agensi-agensi utama yang bergiat aktif dalam bidang ini iaitu Iskandar Malaysia (IRDA), JSLC, YTL Foundation, Kelab Alami Gelang Patah, MAGIC & myHARAPAN.

27 kumpulan tersebut adalah daripada 21 buah institusi pengajian tinggi seluruh negara iaitu UTM, Kolej YPJ, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), UniKL MITEC, INSTEDT, Johor Skills, UiTM Segamat, UTeM, USIM, UKM, UPM, UM, UiTM Shah Alam, UPSI, USM, UniMAP, UUM, UMK, UniSZA, UMT dan UMP, dengan jumlah penglibatan penuh seramai 405 orang Duta Jauhar 3.0 dan 27 orang penyelia. 

Setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya diucapkan. Semoga segala perancangan dan perjalanan semua projek dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dalam membawa mandat kerajaan negeri, menggalas hasrat dan amanah dari seluruh rakyat Johor.

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.