Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

Berita SultanJohor JMF

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu Kerajaan Negeri menghidupkan semula Johor Volunteer Forces (JVF) bagi menambah kecekapan, memperkasa disiplin dan integriti pegawai dan kakitangan kerajaan.

Tuanku bertitah, usaha itu juga bertujuan menghidupkan semangat sukarelawan Bangsa Johor dalam mempertahankan kedaulatan institusi diraja, perpaduan bangsa dan kemakmuran negeri.

JVF diilhamkan Almarhum Sultan Ibrahim dengan nama Johor Volunteer Infantri pada tahun 1905 sebelum ditukar kepada Johor Volunteer Forces pada 7 Sept 1935.

“Tujuan penubuhannya adalah untuk melatih rakyat Melayu Johor menjadi pegawai tadbir kerajaan, kerana Almarhum berpendapat bahawa pegawai yang mempunyai latihan ketenteraan akan lebih berdisiplin, berwibawa dan lebih cekap,” titah Tuanku.

Sultan Ibrahim bertitah, atas sebab itu, Anggota Perkhidmatan Tadbir Negeri (JCS) telah diserapkan dan diberikan latihan ketenteraan di bawah JVF.

“Sejarah juga menunjukkan uniform istiadat serba putih dan topi, serta pedang JVF dijadikan pakaian istiadat pegawai tadbir negeri. Sebab itulah sehingga kini JCS merupakan satu-satunya institusi perkhidmatan awam di Malaysia yang mempunyai pedang istiadat sebagai bukti pertaliannya dengan JVF.

“Ramai juga pemimpin Negeri Johor dahulu yang telah memulakan kerjaya di dalam JMF (Askar Timbalan Setia Negeri Johor) dan JVF, antaranya ialah Dato Abdullah Jaafar, Menteri Besar Johor yang ke-3, Ungku Abdul Aziz Bin Abdul Majid, Menteri Besar Johor ke-6 dan Dato Onn Bin Jaafar, Menteri Besar Johor ke-7.

“Oleh yang demikian, suka saya mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Johor supaya menghidupkan semula pasukan JVF ini,” titah Sultan Johor ketika menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor, di Istana Besar di sini, hari ini.

Titah Tuanku lagi, pasukan sukarelawan itu juga akan dibuka keahliannya kepada semua rakyat Johor tanpa mengira kaum atau keturunan, berdasarkan kepada kelayakan dan kriteria yang akan ditetapkan kelak.

Anggota JVF juga akan diberikan latihan asas dan mengikuti aktiviti ketenteraan bersama JMF, selain berkhidmat secara sukarela bagi membantu kerajaan dalam bidang pertahanan awam, terutama memberi bantuan semasa bencana dan khidmat masyarakat.

Sementara itu, Sultan Johor turut mengingatkan agar tidak ada pihak yang cuba menjejaskan hubungan baik JMF dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“JMF tidak berniat untuk menjadi barisan hadapan pertahanan negara. Nama ‘timbalan’ juga sudah jelas menggambarkan peranannya sebagai benteng pertahanan kedua.

“Oleh yang demikian, janganlah ada pihak yang cuba merosakkan hubungan baik yang telah terjalin antara pasukan JMF dengan Angkatan Tentera Malaysia.

“Pasukan JMF juga sering menjalani latihan bersama-sama pasukan ATM terutama dengan Grup Gerak Khas. Saya mahu lebih banyak lagi anggota JMF dihantar untuk sama-sama menjalani latihan ketenteraan samada di darat, laut atau udara,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana telah membantu mengukuhkan organisasi JMF.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini, untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang telah membantu mengukuhkan organisasi JMF dengan meluluskan penambahan perjawatan dan pelarasan skim gaji anggota yang setanding dengan ATM,” titah Tuanku.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Bin Mohd Zin. - Portal Jauhar

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.