Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

03

SERDANG, 16 Mac - Penanaman cili menggunakan kaedah fertigasi oleh sekumpulan 15 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membantu masyarakat kampung bukan sahaja memberi pulangan pendapatan untuk penduduk kampung terbabit, malah usaha pelajar berkenaan memenangi dua anugerah pada Kongres Duta Jauhar 2.0 baru-baru ini. 

Mereka memenangi Anugerah Emas tempat ketiga kategori Keseluruhan Program Terbaik dan Anugerah Transformasi Pertanian Terbaik pada kongres itu yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor dari 24 hingga 27 Februari lalu. 

Kongres itu disertai 22 kumpulan mewakili Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan setiap kumpulan membentangkan projek masing-masing. 

Kumpulan pelajar UPM dari Persatuan Kebajikan Anak-anak Johor melalui kerjasama Fakulti Pertanian UPM melaksanakan projek "Benut  Agricultural Transformation Scheme (BATS)" di bawah program Duta Jauhar 2.0 dengan mengusahakan penanaman cili menggunakan konsep pertanian fertigasi. 

Dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian, Johor, kumpulan pelajar ini mengenalpasti kawasan tanah terbiar seluas 1/4 ekar di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, Pontian untuk diusahakan dengan penanaman cili hijau dan merah “Cili Kulai Varieti 461”. 

Pelajar tahun 3 Bacelor Pertanian Akuakultur Fakulti Pertanian, Mohammad Ezaifuddin Sanip, yang juga Timbalan Pengarah program BATS berkata, mereka bersama 12 orang penduduk kampung berkenaan menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan mulai awal September 2015  setelah jambatan siap dibina oleh Pejabat Daerah Pontian untuk memudahkan jentera memasuki ke kawasan tapak semaian. 

Mereka juga menyediakan lebih 600 polibeg untuk digunakan semasa projek fertigasi, selain paip dan tangki untuk tujuan pengairan dan pembajaan. 

Melalui konsep fertigasi ini, coco-peat atau habuk kelapa iaitu produk yang dihasilkan daripada sabut kelapa dimasukkan ke dalam polibeg sebagai ganti tanah untuk penanaman. Penyemaian di dalam polibeg dibuat secara berperingkat bermula dengan satu plot membabitkan 300 polibeg pada awal Oktober 2015. 

Mohammad Ezaifuddin berkata, hasil mula dituai pada hujung awal Disember 2015 yang memberikan pendapatan kepada petani. 

Menurutnya, satu plot kawasan membabitkan 300 polibeg boleh menjana pendapatan RM780 sebulan jika dijual pada harga RM6 sekilogram. Harga cili boleh meningkat kepada RM12 sekilogram yang akan memberikan pulangan lebih besar kepada pengusaha. 

“Matlamat kita adalah supaya penduduk kampung boleh mengusahakan pertanian moden itu secara sendiri, kita mahu membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung. 

“Kerjanya juga agak mudah, selepas pemasangan paip dan tangki untuk saliran dan baja, petani yang terbabit hanya perlu bekerja kira-kira 15 minit sehari memeriksa paip sekiranya tersumbat,” katanya. 

Beliau berkata projek BATS yang diusahakan di Kampung Parit Abdul Rahman itu dipantau secara berkala oleh Fakulti Pertanian UPM kerana mahu ia menjadi projek yang berterusan. 

“Seronok dapat tolong orang kampung, mereka boleh berdikari daripada asalnya tidak mengetahui kaedah penanaman yang mudah seperti ini,” katanya. 

Program Duta Jauhar 2.0 dicetuskan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan dianjurkan Yayasan Pelajaran Johor bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat Johor. - UPM

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.