Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita utusan johor komited tingkat pendidikan

TANGKAK, 18 Mei - Kerajaan Johor komited untuk membantu Kementerian Pendidikan meningkatkan taraf pendidikan di negeri itu walaupun bidang tersebut merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi pelengkap yang akhirnya akan turut memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi Johor.

Menurutnya, negeri itu tidak dapat lari daripada arus ekonomi global yang memerlukan penguasaan pendidikan terutamanya penggunaan Bahasa Inggeris yang perlu dikuasai rakyat Johor.

“Justeru, salah satunya adalah usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menggerakan Program Pengayaan Bahasa Inggeris Johor.

“Program terbabit akan membantu guru-guru Bahasa Inggeris agar mereka dapat mengajar bahasa itu dengan lebih berkesan supaya rakyat Johor kelak dapat menguasainya demi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2016 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pene­rangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri merangkap Ahli Parlimen Tangkak dan Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, semua sekolah perlu menjadi arena penting untuk mengukuhkan perpaduan nasio­nal dan bukannya sekadar tempat mengejar kecemerlangan semata-mata.

Katanya, tidak ada gunanya kecemerlangan anak-anak menguasai angka-angka jika mereka tidak memahami toleransi atau tidak boleh bekerja dalam satu pasukan yang pelbagai latar belakang.

“Saya berpendirian sistem pendidikan kita harus mengangkat agenda memupuk kesepaduan pelbagai bangsa di Malaysia kerana saya percaya tiada tempat pa­ling baik untuk menyemai nilai-nilai itu jika bukan di sekolah,” katanya. - UTUSAN

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.