Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita jauhar kebun nukleus

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Kerajaan negeri bakal memperkenalkan‎ projek Kebun Nukleus tahun depan bagi mengeluar dan memasarkan keperluan makanan berasaskan produk sayuran, ternakan dan perikanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata pihaknya kini dalam kajian untuk merangka bentuk projek sebelum dilaksanakan.

“Dalam projek ini, kami akan pusatkan satu tempat untuk pertanian di setiap daerah. Di situ, kami buatkan kemudahan, keselamatan seperti pagar, jalan raya dan seterusnya pusat pemasaran,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Kembara Ihya Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di pejabat agensi itu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sejumlah 270 kampit beras dan keperluan asas seperti tepung, minyak dan gula diagih kepada 100 golongan asnaf di sekitar Johor Baharu dan Kulai.

Ismail berkata sebagai permulaan, daerah Segamat dipilih untuk kawasan pertama projek itu melibatkan keluasan tanah lapan hektar dan RM50,000 (peruntukan).

“Apabila berjaya, ia akan diperluas ke daerah-daerah lain,” katanya.

Sementara itu, Ismail menjangkakan kadar import kerajaan negeri terhadap buah kelapa Indonesia berkurangan sewaktu musim perayaan pada masa akan datang memandangkan terdapat hasrat untuk mewujudkan ‘nursery kelapa’.

Menurut Ismail, kerajaan negeri bakal mengimport kira-kira 500,000 hingga 700,000 biji kelapa dari negara itu menjelang Ramadan ini, satu angka yang tinggi berbanding hari biasa iaitu 300,000 biji.

“Kami jangkakan kadar itu berkurangan sehingga 40 peratus jika benih kelapa yang terhasil daripada ‘nursery kelapa’ itu berjaya mengeluarkan buah kelapa tempatan,” katanya. – BERNAMA

 

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.