Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita utusan ikon pontian

PONTIAN, 26 Mei - Ikon baharu Pontian harus dilahirkan sebagai inspirasi ge­nerasi muda terutama golongan pelajar kerana daerah ini seakan-akan ketandusan nama besar, berpengaruh dan disegani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bidang pendidikan harus memainkan peranan utama dalam mengesan, membentuk dan mengembangkan bakat pelajar terutama melibatkan hal-hal kepemimpinan.

Katanya, kejayaan nama-nama besar yang berasal dari daerah ini harus menjadi inspirasi antaranya bekas Menteri Pertanian, Allahyaraham Datuk Ali Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

“Begitu juga dengan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Tan Sri Sulaiman Mahbon dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan, mereka juga dari Pontian.

“Mereka ini adalah hasil didikan guru bermula dari sekolah rendah hingga ke sekolah mene­ngah sebelum mereka menyambung pelajar ke sekolah berasrama penuh seterusnya ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Pontian 2016 di Dewan Seri Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Kamaruddin Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Zainal Buang dan Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Zakaria Abdul Rahman.

Dalam majlis itu, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar 1, Abd. Karim Mohammad me­nerima Anugerah Tokoh Guru manakala bekas Penolong Pengarah Unit Peperiksaan dan Penilaian Kementerian Pendidikan, Ahmad Tekah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan.

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, keupayaan dalam bidang pendidikan juga mampu melahirkan tenaga mahir, pemikir dan ilmuan dalam pelbagai bidang kehidupan.

“Untuk memetik buah yang manis tentunya akan ada ranjau dan duri yang menanti namun bagi guru yang komited dengan tugas-tugas yang diberikan, kejayaan tentunya mengiringi mereka tanpa mengenal erti jemu,” ujarnya.

Katanya, pencapaian dalam pendidikan adalah penting bagi mencorak masa depan negara dan tentunya memerlukan modal insan bukan sahaja cemerlang tetapi pada masa sama mempunyai jati diri yang tinggi.

Menurut beliau, sekolah perlu menjadi tempat penting dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum supaya dapat membina bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing dan bersatu padu. UTUSAN

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.