Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

hmetro 2016 05 31

Sekumpulan 15 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengajar penduduk Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, Pontian, menanam cili menggunakan kaedah fertigasi bagi membantu mereka menjana pendapatan. 

Usaha pelajar terbabit melayakkan mereka memenangi Anugerah Emas tempat ketiga kategori Keseluruhan Program Terbaik dan Anugerah Transformasi Pertanian Terbaik sempena Kongres Duta Jauhar 2.0 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, baru-baru ini. 

Program Duta Jauhar 2.0 dicetuskan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan dianjurkan Yayasan Pelajaran Johor bertujuan meningkatkan ekonomi rakyat.

Kongres itu disertai 22 kumpulan mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dengan setiap kumpulan membentangkan projek masing-masing.

Kumpulan pelajar UPM dari Persatuan Kebajikan Anak-anak Johor dengan kerjasama Fakulti Pertanian melaksanakan projek Benut Agricultural Transformation Scheme (BATS) di bawah program Duta Jauhar dengan mengusahakan penanaman cili menggunakan konsep pertanian fertigasi.

Dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian, kumpulan pelajar berkenaan mengenal pasti kawasan tanah terbiar di Kampung Parit Abdul Rahman untuk diusahakan dengan tanaman cili hijau dan merah ‘Cili Kulai Varieti 461’.

Pelajar tahun tiga Bachelor Pertanian Akuakultur, Fakulti Pertanian, Mohammad Ezaifuddin Sanip berkata, mereka bersama 12 penduduk kampung menjalankan kerja pembersihan kawasan pada awal September tahun lalu selepas jambatan siap dibina bagi memudahkan jentera memasuki kawasan tapak semaian.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah program BATS berkata, mereka menyediakan lebih 600 beg semaian untuk digunakan ketika projek fertigasi, selain paip dan tangki untuk pengairan dan pembajaan.

“Melalui konsep fertigasi, coco peat atau habuk kelapa iaitu produk yang dihasilkan daripada sabut kelapa dimasukkan ke dalam beg semaian bagi menggantikan tanah untuk penanaman.

“Semaian di dalam beg dilakukan secara berperingkat bermula dengan satu plot membabitkan 300 beg semaian pada awal Oktober,” katanya.

Mohammad Ezaifuddin berkata, hasil mula dituai pada awal Disember yang memberikan pendapatan kepada petani sekali gus menjana ekonomi mereka.

“Satu plot kawasan membabitkan 300 beg semaian boleh menjana pendapatan RM780 sebulan jika dijual pada harga RM6 sekilogram. Harga cili boleh meningkat kepada RM12 sekilogram yang akan memberikan pulangan lebih besar untuk penanam.

“Matlamat kami supaya penduduk kampung mengusahakan sendiri pertanian moden itu, seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kerjanya juga agak mudah. Selepas pemasangan paip dan tangki untuk saliran serta baja, petani hanya perlu bekerja 15 minit sehari memeriksa saluran paip jika tersumbat,” katanya.

Beliau berkata, projek BATS dipantau secara berkala oleh Fakulti Pertanian kerana mahu ia menjadi projek berterusan.

“Seronok dapat tolong orang kampung, mereka boleh berdikari daripada asalnya tidak mengetahui kaedah penanaman mudah seperti ini,” katanya. - Harian Metro

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.