Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita persada misikemboja

PHNOM PENH, 8 Sept - Seramai 15 orang ahli sukarelawan daripada Duta Jauhar UKM (Persada) diketuai oleh Duta Jauhar Nur Shakinah Binti Kadiran telah berangkat ke Kemboja bagi menjalankan Misi Kemanusiaan di sana sepanjang 7 hingga 11 September 2016.

Misi ini memfokuskan pemberian bantuan kepada golongan umat Islam yang hidup dhaif di penempatan luar bandar dikenali Kampung Chnang. Antara barangan bantuan yang dibawa adalah Al-Quran, pakaian, perkakas persekolahan, buku-buku pembelajaran dan juga sumbangan tunai.

Menurut Nur Shakinah, pemilihan Kemboja adalah kerana Kemboja antara negara Asia paling miskin kesan daripada Perang Saudara yang telah berlaku sekitar tahun 1975-1979. Populasi penduduk Islam dianggarkan lebih kurang 500,000 orang daripada keseluruhan 14 juta jumlah penduduk Kemboja.

" Mereka hidup berselerakan di seluruh Kemboja dalam keadaan serba daif. Sebahagian besar kanak-kanak Islam Kemboja masih tidak mendapat pendidikan secara formal kerana ibu bapa di sini tidak mampu untuk menghantar mereka ke sekolah. Kerana itu, kami turut menjalankan program motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah bagi menyuntik semangat mereka dalam menuntut ilmu,' katanya.

Tambahnya, selain daripada pemberian sumbangan, program bersama pelajar dan program keluarga angkat, mereka juga bersama-sama penduduk setempat membina perigi air sebagai usaha mendapatkan bekalan air bersih di penempatan tersebut dan juga memberi manfaat kepada para petani untuk meningkatkan hasil tanaman mereka.

" Kami ingin mengucapkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, bantuan dan kerjasama yang terbaik untuk kami menjayakan misi ini, Antaranya pihak Universiti Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kedutaan Malaysia di Kemboja, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Menteri Besar Johor, Yayasan Pelajaran Johor, Pejabat DUN Kerdau, Pertubuhan HELWA Bangi, Alumni Persada UKM dan orang perseorangan. "

Kumpulan ini turut menjalin hubungan kerjasama bersama Cambodian Muslim Cooperative, sebuah organisasi Islam di sana bertujuan beroleh manfaat untuk kedua-dua pihak bagi masa panjang. Sesungguhnya, misi ini dilihat sebagai permulaan terhadap agenda pengantarabangsaan DUTA JAUHAR bagi merintis ke arah sebuah institusi sukarelawan bertaraf global. 

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.