Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

Berita MB UTM Okt16

SKUDAI, 6 Okt – Pembudayaan bidang keusahawanan dan inovasi di negeri Johor dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada ketahanan dan kemapanan ekonominya.

Menteri Besar Johor, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua bidang tersebut perlu menjadi katalis jika ingin memastikan kejayaan negeri itu.

“Johor amat serius dalam pembangunan keusahawanan dan inovasi kerana pertumbuhan ekonomi yang mapan, cergas dan lestari adalah penting untuk melahirkan negeri dan masyarakat yang sejahtera.

“Malah, melaluinya juga kita dapat membentuk masyarakat berdaya saing serta mandiri yang tidak bergantung sepenuhnya pada kerajaan dan bingkas merebut peluang, berani mengambil risiko juga berpandangan jauh,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Keusahawanan dan Inovasi Johor 2016, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa bidang keusahawanan menuntut masyarakat untuk membudayakan perkongsian kepakaran, ilmu, dan pengalaman serta menggalakkan sinergi antara kerajaan dengan universiti dan pelbagai pemegang taruh lain.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana yang besar untuk aktiviti penyelidikan, misalnya peruntukan berjumlah RM2.8 bilion melalui RMK9, manakala bagi RMK10 pula peruntukannya adalah sebanyak RM1.6 bilion.

“Malah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga telah menetapkan sasaran sejumlah 360 produk akan dikomersilkan pada tahun 2016.

“Untuk itu, semua pihak perlu terlibat sama untuk memperbanyakkan penyelidikan yang boleh digunakan oleh rakyat dan industri tempatan secara terus dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak pihak di Johor untuk membudayakan kreativiti dan inovasi dalam setiap bidang dan sentiasa bersaing untuk membangunkan ekonomi berdasarkan idea yang kreatif bagi manfaat bersama.

“Johor yang berkemajuan adalah Johor yang inovatif dan ekonominya dibangunkan dengan teknologi, kreativiti dan inovasi termaju.

“Maka, jika kita bercita-cita untuk menjadi kuasa ekonomi baharu di Malaysia kita perlu membudayakannya kerana inovasi yang rancak dan berterusan akan menghasilkan sesuatu yang baru dan mempunyai nilai ekonomi,” katanya.
Hari Keusahawanan dan Inovasi Johor atau Johor Entrepreneurial and Innovation Day (JEnID) 2016 merupakan gabungan tiga program bersekali yang disatukan menjadi satu.

Ia dijadikan sebahagian daripada acara tahunan dan aktiviti di bawah Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ). - JAUHAR

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.