Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

DSC 0660

Libatkan 10 kolam terbiar dibangunkan Duta Jauhar UPSI untuk bantu tingkat pendapatan belia

KOTA TINGGI, 24 Okt – Sebanyak 4,000 anak ikan jenis talapia merah dan lampam dilepaskan ke dalam kola ikan terbiar yang dibangunkan semula di bawah projek penternakan ikan air tawar Duta Jauhar UPSI di Felda Air Tawar 3. 

Pengarah projek, Muhammad Mustaqim Hassan berkata, pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Felda berkenaan bersetuju memberikan 10 kolam agar belia kampung dapat melaksanakan projek tersebut di bawah Duta Jauhar UPSI. 

Menurutnya, Duta Jauhar UPSI berjaya menyempurnakan fasa pertama projek dengan membangunkan dua daripada lima kolam yang terbiar hampir enam tahun. 

Katanya, untuk peringkat awal, kolam pertama dan kedua dikhususkan untuk ternakan ikan tilapia dan ikan lampam manakala kolam ketiga dibangunkan untuk ternakan ikan baung. 

“Hasil ternakan ikan talapia dan ikan baung akan dipasarkan sepenuhnya. Bagi ikan lampam pula akan dijadikan sebagai produk industri kecil sederhana (IKS) ikan pekasam yang akan diusahakan oleh golongan ibu tunggal belia. 

“Duta Jauhar UPSI memilih seramai 15 peserta di mana setiap kolam akan diagihkan kepada seorang peserta. Di samping itu, setiap hasil jualan ikan talapia dan ikan keli 10 peratus akan disalurkan ke tabung Majlis Belia Felda (MBFM) Felda Air Tawar 3. 

“Manakala produk IKS atau ikan pekasam akan diserahkan kepada pusat aktiviti peserta ibu tunggal Felda berkenaan. 

Terdahulu, projek yang bertujuan untuk merevolusikan ekonomi rakyat melalui penternakan ikan air tawar dan IKS itu disempurnakan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Ab. Wahab Ridwan. 

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar YPJ, Saifuddin Abdul Rahim; Ketua Daerah Jabatan Perikanan Kota Tinggi, Norazali Mohd Yunos; Pengurus Felda Air Tawar 3, Hassan Khamis dan Pengerusi Persatuan Kecergasan dan Sukan Bina Badan Felda, Faizal Lakimon. 

Tambahnya, ekoran kejayaan daripada fasa pertama dan kedua, kini Duta Jauhar UPSI juga menerima kontrak untuk menjadi pembekal bekalan bahan mentah di kawasan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang mulai Disember ini. 

“Apa yang penting projek ini dapat memberi impak positif kepada kumpulan sasaran khususnya, kerana dapat meningkatkan dan menambah pendapatan para peserta serta komuniti terlibat secara tidak langsung menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya lagi. - Sinar Harian 

LIHAT GAMBAR-GAMBAR DI GALERI (KLIK)

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.