Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita MB pencapaian 20142016

ISKANDAR PUTERI, 16 Nov – Bajet Negeri Johor 2017 yang akan dibentangkan esok turut memberi penekanan mengenai perkara asas yang dekat di hati rakyat selain memberi perhatian dalam aspek pembangunan dan kemajuan fizikal.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, belanjawan tersebut termasuk meneruskan agenda ekonomi yang bersifat inklusif serta berteraskan kesejahteraan rakyat dengan menggariskan 11 usaha utama yang telah dan akan terus dilaksanakan kerajaan negeri.

“Usaha itu termasuk agenda meringankan beban rakyat dalam menangani kos sara hidup, penyediaan rumah mampu milik, kemudahan infrastruktur, pembangunan usahawan, penambahbaikan prasarana pendidikan Islam, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta akses jalur lebar yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Sepanjang tiga tahun mene­rajui pentadbiran negeri ini, beliau yang akan membentang bajet bertema ‘Muafakat ke arah Johor Berkemajuan’ telah berjaya memperkenalkan beberapa pemboleh (enabler) bagi memastikan matlamat pembangunan jangka panjang tercapai.

Antaranya, melibatkan penge­nalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap pengerusi jawatankuasa negeri, memantapkan operasi Pengangkutan Awam Johor (PAJ), mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kawasan Pengerang, persempadanan semula empat buah PBT dan mengukuhkan pentadbiran majlis dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Dalam pada itu, Menteri Besar menegaskan, pengurusan kewangan yang berhemah serta pengagihan hasil di segenap pe­ringkat merupakan antara teras yang membolehkan Johor terus mencatatkan rekod cemerlang dalam belanjawannya selama tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, kedudukan fiskal yang kukuh serta kekal berdaya saing itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini yang sihat.

“Johor menjadi penyumbang keempat terbesar KDNK negara, merekodkan pertumbuhan terkumpul pada tahun 2014 dan 2015, sebanyak 8.5 peratus. Pertumbuhan itu melebihi rekod nasional sebanyak 6.0 peratus, berbanding pencapaian Johor pada kadar 6.5 peratus pada 2014 dan 5.0 peratus berbanding 5.6 peratus tahun berikutnya,” katanya.

Pencapaian itu membolehkan Johor berada di tempat keempat di belakang Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak dari aspek pertumbuhan KDNK tahunan.

“Johor turut menokok jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan dengan mencatatkan RM31.1 bilion pada 2015, berbanding RM21.1 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya. Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak RM5.4 bi­lion jumlah pelaburan telah diperoleh,” katanya. – UTUSAN

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.