Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

VMA 10

PETALING JAYA, 10 Dis - Yayasan Pelajaran Johor berjaya memenangi Anugerah Inisiatif Sukarelawan Terbaik bagi kategori Sektor Perkhidmatan Awam pada Malam Anugerah Sukarelawan Malaysia 2016 (Volunteer Malaysia Awards 2016) anjuran 1Malaysia For Youth (iM4U) apabila mencalonkan Program DUTA JAUHAR untuk anugerah berkenaan. 

Majlis anugerah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak bersama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang berlangsung gilang gemilang di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, Petaling Jaya disini semalam. Turut bersama, EXCO Pemegang Amanah iM4U Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Encik Azlan Rudy Malik. 

Pengurus Besar YPJ, Haji Ab Wahab Ridwan berkata kemenangan ini membuktikan program cetusan YAB Dato' Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor melalui agenda "Muafakat Johor - Pemimpin, Mahasiswa dan Masyarakat" ini amat berjaya dan telah diiktiraf di peringkat kebangsaan.

"Semoga anugerah ini menjadi dorongan untuk kami semua termasuk para peserta untuk terus mencapai kejayaan ke arah Gagasan Johor Berkemajuan sepertimana yang dihasratkan oleh Menteri Besar kita," katanya. 

"Terima kasih kepada kerajaan negeri, Perdana Menteri, iM4U, Warga kerja YPJ, peserta Duta Jauhar dan seluruh rakyat Johor yang sentiasa menyokong program ini. YPJ sentiasa mempergiatkan usaha pemerkasaan Duta Jauhar dalam memastikan jumlah masyarakat yang menerima manfaat program ini meningkat setiap tahun," tambah beliau. 

Beliau yang turut diiringi oleh timbalan beliau, Encik Saifuddin Bin Abdul Rahim dan Pengurus Kanan Pengurusan & Korporat YPJ Haji Mohamed Daud Bin Osman, melahirkan rasa bangga dan ucapan tahniah kepada semua Duta Jauhar daripada siri pertama hingga terkini siri ketiga. 

VMA 11

Lebih membanggakan lagi, apabila Duta Jauhar turut memenangi Anugerah Pencapaian Emas kategori individu (Gold Achievement Awards) menerusi Duta Jauhar INSTEDT yang diwakili oleh Saudara Mohamad Rafi Zainol dan Encik Mohd Sharir Ramli selaku penyelia projek. 

Pada April lalu, kumpulan tersebut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Inisiatif Sukarelawan Terbaik bagi tahun 2015 melalui pencalonan projek mereka bertajuk 'Knowledge For Wellness'. (Berita berkaitan

Perdana Menteri dalam ucapannya, mahu seluruh masyarakat bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan yang menjadi ejen penggerak kepada Agenda Transformasi Nasional.

Beliau berkata, aktiviti kesukarelawanan adalah gelombang besar yang akan membantu memperkukuh kekuatan dalaman negara bagi menjayakan agenda berkenaan. 

"Kekuatan negara bukan hanya bersandarkan kepada kemajuan pengangkutan awam dan bangunan pencakar langit moden, tetapi kekuatan karakter rakyat seperti menerusi kesukarelawanan turut menjadi sandaran," katanya.

Liputan Berita Harian

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.