Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

berita burger otakotak

KLUANG, 16 DIS - Seorang suri rumah yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan mencipta kelainan apabila berjaya menghasilkan burger daripada otak-otak.

Haslina Hamsan, 40, berkata, idea untuk menghasilkan burger otak-otak itu timbul selepas melihat ibu bapanya gemar makan makanan tersebut.

Tambahnya,  semua jenis burger yang ada di pasaran diperbuat berasaskan daging lembu dan ayam, namun tiada satu jenama pun dihasilkan daripada ikan.

“Emak dan ayah saya tak makan daging. Jadi saya terpaksa beli burger telur ayam sebagai ganti."

“Ini yang menimbulkan ilham kepada saya untuk mencipta burger otak-otak kerana dilihat mempunyai pasaran tersendiri," katanya ketika ditemui di Karnival Keusahawanan Kluang (KKK) di Dataran Tasek Puteh, Kluang, baru-baru ini.

Haslina berkata, menerusi karnival itu, pengunjung dapat merasai sendiri menu burger baharunya itu yang menggunakan nama Mahkota.

Penggunaan nama Mahkota untuk makanan yang dihasilkan adalah bukti kesanggupannya menyahut cabaran pemimpin kawasan yang mahu melihat masyarakat di sini menempa kejayaan dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Walaupun baru bertapak kira-kira sebulan di bawah bantuan pemasaran Ismahudin Khalid (IBK Marketing), burger dan dua lagi makanan yang dihasilkan daripada otak-otak iaitu Jejari Otak-Otak dan Popia Otak-Otak Mahkota sudah berada di pasaran tempatan termasuk di pasar raya sekitar bandar Kluang.

“Biarpun jumlah jualan sederhana, saya bangga dapat bantu suami meningkatkan pendapatan bulanan keluarga," katanya.

Haslina berharap, produk dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan seterusnya dia mampu menjadi usahawan wanita berjaya satu hari nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday turut berkesempatan melawat gerai Haslina di karnival berkenaan. - Sinar Harian

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.