Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

IMG 20161006 07

BATU PAHAT, 7 Okt - Tanaman cili fertigasi diusahakan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi program Duta Jauhar 3.0 bukan sahaja memberi manfaat kepada penuntutnya, malah penduduk sekitar. 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTHM, Prof Madya Dr. Asri Selamat berkata, program yang telah memasuki tahun ketiga itu mengetengahkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). 

Menurutnya, ia melibatkan pelbagai pihak antaranya penuntut IPT, pihak universiti, penduduk dan agensi kerajaan yang bergabung idea serta tenaga memberikan ilmu baharu kepada mahasiswa, selain manfaat kepada masyarakat. 

“Dalam program Duta Jauhar, pelajar didedah dengan ilmu yang di luar bidang pengajian masing-masing, seperti perkhidmatan, pertanian, pembuatan dan pelbagai lagi yang boleh menjadi sumber pendapatan kepada pelajar itu sendiri kelak. 

“Di UTHM, kebanyakan pelajar adalah dari jurusan kejuruteraan, namun kami memberikan pendedahan kepada mereka dalam bidang pertanian, di mana kami menjalankan pertanian moden secara fertigasi. 

“Kami mengadakan kerjasama dengan penduduk Kampung Parit Surau, Parit Raja dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bagi mengusahakan tanaman cili secara berkelompok,” katanya ketika ditemui di tapak tanaman cili di Kampung Parit Surau, Parit Raja. 

Hadir sama Penyelia Projek Duta Jauhar 3.0 UTHM, Dr Khairol Anuar Kamri, Ketua Kampung Kawasan Parit Tengah, Samion Selamat dan Konsultan YPJ, Mohd Mushin Ismail. 

Tambah Asri, dengan mengadakan kerjasama melibatkan pelbagai pihak dalam program ini, ia secara tidak langsung akan memperbaiki 'softskill' pelajar meliputi kemahiran berkomunikasi. 

“Tanaman cili yang melibatkan lebih 1,300 pokok ini akan dapat dituai hasilnya kira-kira beberapa minggu lagi dan dalam masa sama dapat juga mendidik pelajar ini ilmu berniaga pula. 

“Dijangka setiap pokok mampu menghasilkan dua hingga 2.5 kilogram cili dan mengikut harga pasaran, setiap kilogram tanaman ini berharga sekitar RM20, di mana ia memberikan manfaat kepada penduduk sekitar. 

“Dalam perancangan untuk projek ini, kita mempunyai masa sebanyak tiga kali tuaian dan ia merupakan satu perkembangan positif serta boleh diteruskan di masa akan datang, lebih-lebih lagi UTHM telah memenangi Anugerah Emas Duta Jauhar 2.0, tahun lalu,” katanya. - Sinar Harian 

LIHAT GAMBAR-GAMBAR LAIN DI GALERI (KLIK)

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.