Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

DSC 3291

TANGKAK, 20 Dis - Projek Tangkak Extreme Park dilihat bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Penarik, Sungai Mati malah bakal memberi limpahan ekonomi kepada warga Tangkak umumnya. 

Projek yang dilaksanakan oleh Duta Jauhar 3.0 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berfokuskan kepada aktiviti sukan lasak seperti sukan kayak kano yang giat dijalankan di Pulau Penarik di sini dengan mewujudkan usahawan dari golongan belia di sekitar kawasan rekreasi tersebut. 

Pengarah Projek, Mohamed Khairi Bin Mohamed Shakif berkata, laman rekreasi Pulau Penarik ini amat berpotensi untuk dimajukan sebagai satu kawasan rekreasi tumpuan bukan sahaja oleh masyarakat sekitar malah menarik kedatangan pelancong asing ke sini khususnya mereka yang gemar dan aktif dalam sukan lasak seperti kayak dan paintball. 

“Kami menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuklah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Pejabat Daerah Tangkak dan Majlis Belia Daerah Tangkak bagi memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.”  

Beliau berkata demikian selesai Program “Pulau Penarik Voluntourism 2016” pada Sabtu lalu yang disempurnakan oleh ADUN Serom, Abd Razak bin Minhat. 

Pada program tersebut, seramai 60 orang sukarelawan daripada Duta Jauhar dan persatuan belia sekitar Tangkak telah terlibat bersama-sama gotong-royong membersihkan sungai dan kawasan rekreasi itu. 

Turut dijalankan satu Bengkel Asas Simenfero bagi mendedahkan kemahiran membuat meja dan kerusi kepada para sukarelawan yang dibina di kawasan berkenaan. 

Dalam pada itu Abd Razak dalam ucapannya berkata, program ini adalah sebahagian daripada pelan induk yang telah dirancang bersama di peringkat daerah untuk dijalankan di kawasan ini. 

DSC 3389

“Pada akhir Disember ini, kita akan teruskan dengan program penanaman kira-kira 3,000 anak pokok di sini untuk mengindahkan lagi Pulau Penarik ini dan kita berharap program itu bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records,” katanya. 

Beliau turut melahirkan rasa bangga dan tahniah kepada Duta Jauhar UTM dan sukarelawan yang terlibat serta penghargaan tidak terhingga kepada Datuk Ir. Dr. Haji Hamim Bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang yang memberi sokongan padu kepada program ini. 

>> LIHAT GAMBAR-GAMBAR MENARIK DI GALERI (KLIK)

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.