Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

Projek Hidroponik LED (H-LED) Pakar Tanaman Tanpa Tanah menjadi pilihan peserta Duta Jauhar Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli yang dilaksanakan di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.Projek itu dilaksanakan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat di mana melibatkan ibu tunggal dan juga beliawanis seramai 17 orang untuk membantu menangani kos sara hidup mereka selari dengan Pelan Suara Hati Rakyat Johor.

WhatsApp Image 2017 08 16 at 21.35.23

Usaha ini dilaksanakan bukan sahaja untuk membantu mengurangkan perbelanjaan dapur malah dapat menanam sayur-sayuran organik, mampu menambahbaik kemahiran bertani secara moden sekaligus membenarkan mereka berada selangkah di hadapan berbanding kemahiran pertanian secara tradisional.

Bukan itu sahaja, penghasilan lanskap yang menarik dan kreatif serta selamat juga mampu diwujudkan kerana tiada penggunaan kawalan racun serangga. Pendidikan sepanjang hayat juga dapat direalisasikan dengan pengenalan ilmu penanaman moden melalui teknik hidroponik memandangkan peserta yang terlibat adalah kaum ibu dan belia.

Penanaman H-LED menggunakan kaedah pertanian moden iaitu hidroponik. Kaedah ini dilihat mampu menghasilkan tuaian yang lebih baik dalam tempoh yang singkat. Dengan bantuan cahaya LED ultraungu, tanaman dapat menjalankan proses fotosintesis 24 jam tanpa bantuan cahaya matahari. Oleh itu, tanaman dapat dituai dalam masa yang singkat dengan jumlah yang banyak.

Peserta yang tergolong daripada kalangan ibu tunggal dan belia ini bukan sahaja menanam sayur-sayuran secara hidroponik untuk dijual bagi menjana ekonomi mereka malah mereka turut menjual set hidroponik LED kepada masyarakat yang berminat untuk melibatkan diri dalam penanaman secara moden yang tidak menggunakan tanah serta mampu mewujudkan suasana 'edible garden' yang kreatif ini kerana cahaya LED yang digunakan mampu menjadikan suasana rumah cantik dengan lampu berwarna biru dan merah.

Projek H-LED yang dijalankan oleh Duta Jauhar UMK Kampus Jeli ini menjadi antara insentif mahasiswa dalam membantu golongan masyarakat meliputi pelaksanaan keusahawan sosial.

Salah seorang peserta berkata penanaman hidroponik ini sangat senang dilakukan kerana penjagaannya sangat minima dan tidak memenatkan berbanding penanaman secara tradisional yang memerlukan tenaga yang lebih untuk bercucuk tanam.

Tambahan pula, sayur-sayuran yang ditanam mudah dijaga dan mampu hidup dengan segar dengan pengaliran air baja yang sistematik selama 24 jam tanpa henti.

 

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.