Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

UniMap SnT Daftar

MUAR, 17 Okt - Seramai 40 orang pelajar menyertai Program Perkampungan Sains & Teknologi atau SnT Village, yang dianjurkan oleh Duta Jauhar UniMAP selama 3 hari di D'Impian Training Centre, Parit Jawa dekat sini baru-baru ini. 

Para peserta adalah pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 2 daripada 5 buah sekolah sekitar Muar iaitu SMK Tun Perak, SMK Tengku Mahkota, SMK Raja Muda, SMK Bukit Pasir dan SMA At-Tanwiriah.

Pengarah Projek, Fariezzul Mohd Ali @ Nordin berkata, program SnT Village ini adalah salah satu fasa dalam pelaksanaan projek Duta Jauhar UniMAP yang dikenali sebagai Seputar Sains dan Teknologi, yang bertujuan untuk memupuk minat belajar dalam kalangan pelajar sekolah terutama di luar bandar terhadap bidang Sains & Teknologi.

"Apabila mereka menyertai program sebegini, mereka bukan sahaja akan minat kepada subjek Sains, malah secara tidak langsung mereka akan turut minat mempelajari dan mendalami subjek Bahasa Inggeris dan juga Matematik," katanya.

Menurut beliau, para peserta didedahkan dengan pelbagai elemen sains teknologi dan melihat secara dekat pelbagai gadjet atau peranti yang didatangkan khas daripada Universiti Malaysia Perlis, termasuklah beberapa robot pintar.

"Terbukti kaedah ini amat berjaya menonjolkan kemampuan setiap peserta yang rata-ratanya dikenalpasti oleh guru sebagai kelompok yang kurang menyerlah ketika sesi pembelajaran dalam kelas," menurut beliau lagi.

Seorang peserta, Izzanul Aqiel, 14, daripada SMK Tun Perak berkata, pada awalnya beliau berasakan program ini akan membosankan seperti program-program sekolah yang lain. Namun, sangkaan beliau tidak benar sama sekali apabila beliau mendapati program ini amat bermanfaat dengan pengisian aktiviti berkaitan bidang teknologi yang menyeronokkan. 

Bagi Irham Nashran, 13, daripada SMK Raja Muda pula, mulanya beliau berasa gementar apabila diberitahu guru untuk menyertai program ini. Tetapi setelah 3 hari berada di sini, beliau amat gembira kerana bukan sahaja dapat kenal ramai kawan, malah berpeluang mencipta dan bermain dengan robot. 

Majlis pembukaan program disempurnakan oleh Prof Madya Dr. Mohd Fo'ad Sakdan, Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, dan perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Encik Nor Azman Ismail, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Muar. 

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.