Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

instedt 20

JOHOR BAHRU, 2 Nov - Seramai 30 orang sukarelawan Skuad Ehsan Penyayang Parlimen Johor Bahru menerima Sijil Pengiktirafan daripada pihak Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) semalam, setelah menyertai Bengkel Permata Kasih anjuran Duta Jauhar INSTEDT baru-baru ini. 

Sijil itu mengiktiraf peranan mereka sebagai sukarelawan yang mahir untuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan dan penjagaan asas apabila mengunjungi rumah orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik terlantar.

Timbalan Ketua Eksekutif INSTEDT, Rubiah Mohd Tom berkata, peranan ahli pertubuhan ini perlu diperkasakan berbanding sebelum ini yang hanya menyampaikn sumbangan atau bertanya khabar apabila membuat lawatan rumah ke rumah.

"Kini mereka mampu berkhidmat menguruskan warga emas atau OKU yang terlantar sakit dan memberi bantuan awal kecemasan di kawasan perumahan sekitar Johor Bahru. Walaupun mereka mempelajarinya dalam tempoh singkat, kami kagum dengan kecekapan Skuad Ehsan Penyayang terutama ketika melakukan lawatan ke lebih 10 rumah pesakit kronik di Rumah Pangsa Larkin, di sini baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program ‘Knowledge For Wellness’ Duta Jauhar INSTEDT yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Dewan Serbaguna Rumah Pangsa Larkin Larkin di sini.

Pengarah Projek Duta Jauhar INSTEDT, Mohamad Rafi Zainol berkata, pada masa ini bengkel berkenaan yang telah berjalan satu fasa dan akan menyusul empat lagi fasa hanya dilaksanakan di Parlimen Johor Bahru dan bakal diperluaskan ke kawasan parlimen lain di negeri ini pada masa hadapan.

“Parlimen Johor Bahru adalah perintis kepada program ini dan kami mensasarkan lebih ramai kumpulan masyarakat untuk turut serta seperti pertubuhan belia, komuniti rukun tetangga dan persatuan penduduk,” katanya.

Peserta program, Alwani Mohd Sabri, 49, berkata beliau gembira kerana berpeluang menimba pengetahuan baharu dalam bengkel berkenaan.

Sebelum ini, aktiviti ahli Skuad Ehsan Penyayang lebih bertumpu kepada lawatan dan penyampaian sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Penyertaan dalam bengkel ini membolehkan kami mempelajari kaedah berkomunikasi menguruskan pesakit kronik, warga emas dan OKU dengan lebih profesional dan ini satu pengalaman yang amat bermakna,” katanya. 

INSTEDT 02Nov15 HM

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.