Berita & Aktiviti Terkini
Perkembangan & Maklumat terkini Program Duta Jauhar

duta jauhar 2015 ukm permaj mbrasmi

JOHOR BAHRU, 17 Nov – PENUNTUT dari negeri ini di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara terutamanya mereka yang menyertai Duta Jauhar digesa memperkasakan semangat jati diri dan sikap bertanggungjawab terhadap komuniti setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan nilai murni yang tertanam di dalam sanubari, mereka secara tidak langsung boleh menjadi wadah membantu kerajaan bagi membangunkan negeri ini.

Beliau berkata, menerusi Duta Jauhar, semua penuntut akan terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang berasaskan aktiviti kesukarelaan.

“Penuntut yang dilantik selaku Duta Jauhar memainkan peranan sebagai ejen perubahan, iaitu mereka boleh melibatkan diri dalam pelbagai program berbentuk kemasyarakatan yang selari dengan dasar dilaksanakan kerajaan.

“Hingga kini, program Duta Jauhar yang disertai 330 penuntut daripada 16 IPT di negara ini telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 ahli masyarakat setempat di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Projek Transformasi Ekonomi dan Modan Insan (TransEko-Mi) Duta Jauhar, di sini kelmarin.

Yang turut hadir pada majlis perasmian projek kendalian Kumpulan Mahasiswa Duta Jauhar Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu ialah Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), On Jabbar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za'nal Misran.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi menjayakan 22 projek di bawah program tersebut dan salah satu daripadanya adalah Transeko-Mi, UKM yang menyasarkan golongan ibu tunggal dan belia di Pangsapuri Taman Desa Rakyat, di sini.

Menurutnya, 35 ibu tunggal di kediaman itu dibantu oleh Permaj bagi menubuhkan sebuah syarikat perkongsian dengan nama Iris Enterprise untuk menjalankan perniagaan menjual produk makanan seperti kerepek dan kuih tradi­sional.

“Projek ini dijalankan selama tujuh bulan, iaitu dari 17 Mei lalu hingga hujung tahun ini. Kita harap banyak pihak akan mendapat manfaat daripada projek ini,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Duta Jauhar

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara untuk bermuafakat membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di Negeri Johor. 

Maklumat Terkini

Jadilah yang terawal mendapat maklumat terkini daripada kami terus ke emel anda.